Media

COVID-19
17/5/21
Isu
Selangor
STFC19

Berita Harian: Pesakit COVID kategori 3 di PKRC MAEPS semakin ramai

KUALA LUMPUR: Situasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) kini semakin mencabar dengan kemasukan lebih ramai pesakit COVID kategori 3.

Jabatan Kesihatan Selangor berkata, pada awal Januari lalu, PKRC MAEPS hanya mempunyai 60 katil untuk kategori 3.

"Pada awalnya PKRC MAEPS hanya mempunyai 60 katil untuk kategori 3 pada awal Januari lalu tetapi kini PKRC Bersepadu MAEPS sudah menempatkan 757 pesakit kategori 3.

"Kita juga sedang bercadang menambah kapasiti ini kepada 1,000 katil bagi menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang selaras dengan peningkatan angka pesakit COVID-19 terkini," katanya menerusi Facebook, hari ini.

Susulan itu, pesakit dengan kategori 3 ditempatkan di dewan berdekatan dengan Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara supaya pemantauan lebih rapi dapat dilaksanakan, manakala pesakit kategori 1 dan 2 yang stabil ditempatkan di Dewan DG.

"Bagaimanapun, pihak PKRC akan berusaha sebaik mungkin memisahkan kategori pesakit warganegara dan bukan warganegara di dewan berkenaan.

"PKRC MAEPS juga mengucapkan terima kasih dan menyambut baik isu proses kemasukan yang dinyatakan pengadu dan akan melihat kembali serta melakukan penambahbaikan proses itu dari semasa ke semasa," katanya.

Terdahulu, terdapat pihak mendakwa PKRC MAEPS tidak selesa dan selamat berikutan terlalu ramai pesakit yang positif ditempatkan bersama sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

Mereka mengadu tidak diberikan kemudahan asas seperti cadar, bantal dan mula mengalami batuk biarpun ketika mula dibawa ke situ mereka adalah kategori tiada gejala.

Justeru Kementerian Kesihatan (KKM) digesa membenarkan mereka yang mengalami gejala ringan atau tidak bergejala menjalani kuarantin kendiri di rumah memandangkan keadaan di pusat kuarantin yang terlalu sesak.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.