Media

Peristiwa
24/3/23
Isu
Selangor

Berita Harian: Pengendali tapak perkhemahan di Selangor perlu dapat permit

KUALA LUMPUR: Selangor giat melakukan proses pemutihan terhadap operator tapak perkhemahan di negeri itu bagi memastikan mereka berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan permit bangunan sementara (PBS).

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata proses pemutihan dilakukan hingga 31 Mac ini bagi memastikan mereka mematuhi syarat mengendalikan operasi di tapak perkhemahan sedia ada.

Katanya, usaha itu turut membabitkan kerajaan negeri lain selepas draf Garis Panduan Perancangan (GPP) Tapak Perkhemahan yang dibuat susulan kejadian tanah runtuh di Batang Kali hujung tahun lalu, dimuktamadkan April ini.

"Proses pemutihan ini bertujuan mengenal pasti operator yang beroperasi sebelum 15 Mac lalu supaya berdaftar dengan PBT bagi mendapatkan PBS untuk terus beroperasi.

"Di Selangor, kita beri tempoh dua tahun untuk mereka memenuhi syarat ditetapkan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) mengenai sama ada syarikat operator yang wujud sebelum ini, akan mengikuti garis panduan ditetapkan kerajaan.

Akmal Nasrullah berkata, pihaknya berharap dengan adanya garis panduan itu, aspek berkaitan keselamatan, keselesaan dan pemuliharaan alam semula jadi diberi perhatian dalam perancangan dan pembangunan tapak perkhemahan supaya tragedi Batang Kali dapat dielak pada masa depan.

Katanya, draf GPP kini di peringkat mengambil kira pandangan dan maklum balas pelbagai agensi berkaitan, PBT dan pemain industri membabitkan pengusaha tapak perkhemahan.

Beliau berkata, GPP memberi fokus kepada aktiviti perkhemahan asas iaitu yang menggunakan khemah di kawasan semula jadi dengan kemudahan asas minimum serta kelengkapan, peralatan dan makanan perlu dibawa sendiri peserta.

"Antara aspek penting berkaitan perancangan dan kawalan kesesuaian tapak perkhemahan adalah kesesuaian cadangan lokasi tapak perkhemahan dibenarkan di kawasan gunung dan berbukit, tepian laut dan sungai, hutan, kawasan berisiko bencana semula jadi serta kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) lain.

"Selain itu, keselamatan tapak dengan menentukan jarak sesuai dari kawasan larangan dan sensitif alam sekitar, keadaan topografi dan tahap kecerunan sesuai dan struktur kekuatan tanah," katanya.

Beliau berkata, aspek penting turut merangkumi keperluan dan kesesuaian akses laluan keluar dan masuk ke tapak perkhemahan serta keperluan kemudahan dan infrastruktur asas.

Akmal Nasrullah berkata, ia termasuk sistem perparitan, bekalan air, elektrik, pembetungan, pengurusan sisa pepejal, kemudahan letak kenderaan, pejabat pengurusan, tempat berkumpul, tempat rawatan awal, tandas, tempat memasak dan surau.

Beliau berkata, draf GPP juga menyentuh aspek berkaitan pematuhan perundangan di bawah bidang kuasa PBT dan agensi berkaitan seperti kelulusan permit sementara bangunan, lesen perniagaan, permit papan tanda dan iklan, permit menjalankan aktiviti luar atau ekstrem.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.