Media

COVID-19
24/9/21
Isu
Selangor

Berita Harian: MAIS ambil tindakan individu tolak vaksin

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan mengenalpasti dan mengambil tindakan tegas terhadap guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa masjid dan surau serta Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam yang menolak untuk mengambil vaksin COVID-19.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, merujuk titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj semalam, MAIS turut kecewa dengan tindakan individu berkenaan yang tidak mengambil suntikan vaksin COVID-19 walaupun pelbagai usaha sudah dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"MAIS memandang serius berhubung dengan perkara ini kerana terdapat sejumlah besar golongan berkenaan berada di bawah seliaan MAIS sebagai pihak berkuasa utama berhubung pentadbiran agama Islam, selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Kegagalan atau keengganan individu berkenaan untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19 akan menyebabkan hasrat untuk mendapatkan perlindungan imuniti kelompok gagal dilaksanakan dan mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat malah individu berkenaan menjalankan tugas yang membabitkan masyarakat di masjid, surau dan sekolah.

"MAIS menjunjung titah Sultan Selangor pada 2 September lalu dan semalam akan mengenal pasti golongan berkenaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang dilantik oleh pihak MAIS mengikut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MAIS juga akan memberi kerjasama dan bantuan kepada kerajaan negeri untuk memastikan tindakan tegas juga diambil terhadap individu yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Abdul Aziz memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 9 Februari lalu memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa itu juga selaras dengan Maqasid Syariah dalam Islam iaitu hifzu al-nafs, memelihara nyawa dan umat Islam disyariatkan untuk menjaga, memelihara nyawa dan apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan ancaman atau kebinasaan kepada diri atau nyawa seseorang adalah diharamkan.

"Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa tersebut, sekiranya arahan dikeluarkan oleh Ulil Amri atau pemerintah untuk mana-mana golongan mengambil suntikan vaksin COVID-19, maka arahan itu wajib dipatuhi.

"Oleh itu, adalah ditegaskan bahawa guru KAFA, anggota Jawatankuasa Masjid dan Surau serta Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam di negeri ini perlu mematuhi arahan untuk mengambil vaksin COVID-19 seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor dan arahan yang dikeluarkan oleh MAIS serta JAIS," katanya.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shahmen zahirkan dukacita dan amat kecewa apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 orang KAFA, Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid dan Jurunikah di negeri ini yang hadir semasa sesi program vaksinasi khas COVID-19 Frontliner JAIS, semalam.

Menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Selangor Royal Office, lebih mendukacitakan baginda apabila 96 daripada 203 yang hadir menolak untuk divaksin.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.