Media

Ekonomi
20/1/21
Selangor

Berita Harian: LOGOS labur bina hab logistik di Shah Alam

Berita terbit di bharian.com.my bertarikh 19 Januari 2021.

KUALA LUMPUR: Firma hartanah logistik Asia Pasifik, LOGOS SE Asia Pte Ltd menjalin usaha sama strategik dengan syarikat Malaysia bagi membangunkan hab logistik, pergudangan dan e-dagang bersepadu di Seksyen 16, Shah Alam.

Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia, Sarkunan Subramaniam, berkata kemudahan itu bakal menjadi hab logistik sehenti terbesar di Malaysia.

Beliau berkata, ia direka dengan kesesuaian untuk memenuhi kehendak penyewa, mempunyai jalan masuk dan ciri 'cross-docking' untuk memudahkan pengangkutan logistik serta pengurusan lalu lintas yang berkesan.

Katanya, kemudahan itu akan disiapkan secara berperingkat di kawasan seluas 8.01 juta kaki persegi yang merangkumi lima blok gudang.

"Ia akan menjadi aset dalam portfolio kumpulan setelah selesai. Ini menjadi projek pembangunan terbesar LOGOS di Asia.

"Usaha sama strategik itu juga dijangka membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) melebihi RM1 bilion ke Selangor," katanya dalam satu kenyataan.

Sarkunan berkata, walaupun semua negara di dunia termasuk Malaysia sedang berhadapan dengan krisis kewangan kesihatan disebabkan COVID-19, pelaburan LOGOS di Malaysia menjadi bukti kukuh keyakinan peserta logistik antarabangsa dalam pertumbuhan sektor perindustrian negara.

Knight Frank Malaysia akan menjadi perantara dalam urus niaga usaha sama startegik itu yang akan dilaksanakan melalui langganan saham 60 peratus oleh LOGOS ke atas syarikat tujuan khas (SPV), Global Vision Logistics Sdn Bhd.

Global Vision seterusnya diberi tanggungjawab untuk melaksanakan pembangunan itu.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.