Inisiatif

Terkini
5/12/22
Selangor
Negara

Berita Harian: Kerajaan perlu siap siaga hadapi cabaran ekonomi tahun depan

HULU SELANGOR: Kerajaan perlu bersedia menghadapi cabaran dan rintangan ekonomi yang dijangka berkembang perlahan tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata barisan Kabinet baharu juga bakal berdepan cabaran besar, khususnya dalam menterjemahkan kepercayaan diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Saya percaya setelah berbincang panjang dengan komponen parti yang bersetuju kepada Kerajaan Perpaduan ini, mereka telah memilih calon-calon yang sebaik mungkin menjamin kestabilan pentadbiran dengan jaminan dua pertiga majoriti.

"Ini seterusnya membawa kepada tanggungjawab dan tugasan selaku pentadbiran dan pengurusan tertinggi dalam negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Selangor Penyayang Daerah Hulu Selangor di Persiaran As Salam, Bukit Sentosa, di sini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim.

Amirudin berkata, biarpun ada pelbagai pandangan tertentu berhubung pelantikan beberapa individu tertentu, beliau percaya keputusan itu adalah rumusan yang terbaik.

"Rumusan itu diputuskan hasil semangat perpaduan yang lahir daripada Kerajaan Perpaduan," katanya.

Semalam dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Jumlah saiz itu, termasuk Anwar yang memegang portfolio Menteri Kewangan adalah lebih kecil berbanding 31 anggota Jemaah Menteri dalam kerajaan yang terbentuk sebelum ini.

Amirudin turut meminta Perikatan Nasional (PN) supaya memainkan peranan semak dan imbang kepada Kerajaan Perpaduan, bukannya cuba mengumpan wakil rakyat dari blok lawan menyertai gabungan itu.

Beliau berkata, biarpun ditawarkan untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan, PN sebaliknya memilih kekal berpegang dengan pendirian parti.

"Justeru, langkah yang dipilih PN itu melengkapi proses demokrasi dalam negara. Mereka telah memilih 'haluan' itu, Saya kira semangatnya itu semangat untuk 'check and balance'. Jadi, pastikan ia 'check and balance'. Jangan pula cuba pula 'curi-curi' wakil rakyat seperti mereka lakukan sebelum ini," katanya.

Katanya, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh selepas hampir dua tahun di Putrajaya susulan Langkah Sheraton, parti itu juga melakukan perkara yang sama, iaitu melaksanakan tugas semak dan imbang.

"Walaupun dikecewakan, kita melaksanakan tugas 'check and balance' berterusan sampai (Parlimen) bubar. Kalau mereka (PN) nak teruskan (peranan semak dan imbang), bagus juga untuk demokrasi kerana ia tidak terlalu asing atau pelik," katanya.

Amirudin berkata, jika pembangkang bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan, negara mampu mengharungi cabaran terutamanya ekonomi yang dijangka berkembang perlahan tahun depan.

"Kalau kita tidak berpakat dan berpadu, kemungkinan cabaran itu sukar untuk kita hadapi. Alhamdulilah, sekarang kita (Kerajaan Perpaduan) ada dua pertiga majoriti.

"Ini penting untuk kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan, dapat dipelihara seterusnya boleh 'move on' (bergerak ke hadapan) sama-sama untuk menyelesaikan masalah," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.