Media

Terkini
16/3/23
Isu
Selangor

Berita Harian: Kadar pengangguran Selangor turun

SHAH ALAM: Kadar pengangguran di Selangor menurun kepada 2.9 peratus pada tahun lalu, berbanding 4.3 peratus yang direkodkan pada 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan & Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman, berkata mengikut data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran di kawasan luar bandar juga rendah.

"Sebagai contoh data pada 2021, kadar pengangguran Kuala Langat sebanyak 3.3 peratus, Kuala Selangor (4.3 peratus), Sabak Bernam (3.9 peratus) dan Hulu Selangor (3.3 peratus).

"Secara keseluruhan kadar pengangguran di Selangor adalah di bawah empat peratus," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) mengenai peluang pekerjaan di kawasan luar bandar.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, penurunan kadar pengangguran di Selangor berlaku disebabkan penghijrahan anak muda dari luar bandar ke bandar di negeri ini.

Jelasnya, belia yang berhijrah dari luar bandar ke bandar dalam Selangor sebanyak 11 peratus manakala belia di luar Selangor yang berhijrah ke Selangor sebanyak 14 peratus.

Dalam pada itu, penurunan kadar pengangguran itu juga kesan daripada penganjuran Program Selangor Mega Job Fair yang dianjurkan kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri berjaya memberikan sebanyak 3,053 peluang pekerjaan melalui dua program Selangor Mega Job Fair pada 2022.

"Malah program sama akan diadakan sebanyak dua kali pada tahun ini untuk memberi peluang kepada belia di Selangor.

"Sebanyak 39,278 peluang pekerjaan yang merangkumi pelbagai sektor antaranya automotif, teknologi maklumat, perhotelan, sukan, pemasaran dan jualan, makanan dan minuman (F&B), peruncitan, pentadbiran dan perkhidmatan serta lain-lain industri disediakan dalam program Selangor Mega Job Fair pada 2022," katanya.

Beliau berkata, selain Selangor Mega Job Fair, kerajaan negeri turut menganjurkan Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS); Program Selangor Kerjaya dan Program Jelajah Jobcare.

Jelasnya, penganjuran program secara mega ini adalah satu usaha proaktif bagi membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam membantu golongan belia yang menganggur untuk mendapatkan pekerjaan.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.