Inisiatif

Peristiwa
24/11/22
Selangor
Isu
Sidang

Berita Harian: Hutan simpan kekal Selangor kini 31.65 peratus

SHAH ALAM: Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Selangor kini berjumlah 250,250.33 hektar iaitu 31.65 peratus daripada keseluruhan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian, berkata tiga hutan simpan iaitu di Mukim Sungai Panjang, Sabak Bernam; Mukim Buloh Telor, Hulu Selangor dan Mukim Semenyih, Hulu Langat sudah selesai diwartakan Hutan Simpanan Kekal pada 12 Ogos 2021.

"Pewartaan ini dilaksanakan mengikut Seksyen 7, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

"Maklumat siar warta ketiga-tiga hutan simpanan kekal berkenaan adalah Hutan Simpan Sungai Panjang, Mukim Sungai Panjang seluas 308.62 hektar (762.29 ekar); Hutan Simpan Buloh Telor Barat, Mukim Buloh Telor seluas 149.96 hektar (370.57 ekar); Hutan Simpan Buloh Telor Timur, Mukim Buloh Telor seluas 57.18 hektar (141.23 ekar) dan Hutan Simpan Bukit Broga, Mukim Semenyih, seluas 63.88 hektar (157.86 ekar).

"Sehingga kini keseluruhan Hutan Simpanan Kekal di negeri Selangor adalah berjumlah 250,250.33 hektar atau 31.65 peratus daripada keseluruhan negeri ini," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lee Kee Hiong (PH-Kuala Kubu Baharu) mengenai status terkini pewartaan Hutan Simpan Kekal di Mukim Sungai Panjang Sabak Bernam, Mukim Buloh Telor Hulu Selangor dan Mukim Semenyih Hulu Langat yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2021.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan dari Zakaria Hanafi (BN-Semenyih) supaya kerajaan negeri mengadakan penguatkuasaan di Hutan Simpan Bukit Broga yang pernah terbakar sebelum ini, Loy Sian berkata pendaki yang ingin memasuki kawasan itu perlu membuat permohonan permit berikutan beberapa kawasan dalam proses penghijauan.

"Memang (Hutan Simpan Bukit) Broga selepas diwartakan sebagai HSK, sesiapa yang masuk hutan itu perlu membuat permohonan (permit). Penguatkuasaan juga dilakukan bagi pokok yang ditanam semula di kawasan terbakar tidak dirosakkan pendaki," katanya.

Loy Sian berkata, pelbagai program dijalankan dengan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang menanam pokok-pokok hutan yang diluluskan kawasan hutan terbabit.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.