Media

Peristiwa
21/3/23
Isu
Air
Selangor

Berita Harian: Had pendapatan layak nikmati skim bantuan air Selangor dinaikkan

SUNGAI BESAR: Kerajaan Selangor menilai keperluan untuk menaikkan had minimum pendapatan rakyat yang layak menerima Skim Air Darul Ehsan kepada RM6,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim, berkata inisiatif itu bertujuan memastikan sasaran 600,000 pendaftaran bagi air percuma bagi 20 meter padu setiap bulan, dapat dicapai.

"Kita akan lihat, kalau tahun ini masih lagi (kurang pendaftaran), kita akan naikkan (had minimum pendapatan) sebab garis kemiskinan di Selangor ialah RM6,000 dan tidak mengikut nasional.

"Untuk itu, kita akan lihat balik bagaimana dan akan bawa (cadangan) supaya naikkan had minimum pendapatan isi rumah (layak mendapat skim)," katanya pada sidang media selepas program Jelajah Kita Selangor Penyayang Daerah Sabak Bernam di Dataran Niaga Bagan Terap, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman, ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin dan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Amri Ismail.

Sementara itu, Izham berkata, setakat ini seramai 300,000 rakyat Selangor memohon SADE.

Bagaimanapun katanya, walaupun terdapat peningkatan jumlah pendaftaran ia dilihat masih rendah.

"Kita tidak pasti apa sebabnya. Pelbagai promosi dan publisiti telah dibuat.

"Mungkin rakyat merasa RM11 untuk satu rumah itu sedikit atau pun ada kemungkinan memberi peluang kepada orang lain.

"Bagaimanapun, kita masih teruskan usaha untuk menggalakkan rakyat mendaftar selain melakukan publisiti," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.