Media

COVID-19
13/4/21
Isu
Selangor
Negara

Berita Harian: 6 negeri kekal dalam PKPB

PUTRAJAYA: Enam negeri dan wilayah kekal dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan bilangan kes jangkitan COVID-19 yang masih tinggi serta zon merah yang banyak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata lima negeri dan wilayah terbabit adalah Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak.

Biarpun trend menunjukkan kes menurun, masih banyak zon merah dikesan di negeri berkenaan manakala masih banyak zon merah dan jingga di Kuala Lumpur.

"Johor menunjukkan insiden kes menurun dengan zon merah berkurangan dan zon hijau, zon kuning meningkat. Pulau Pinang, kadar insiden tinggi dan zon merah masih banyak. Di Kelantan, kadar insiden (kes) dan trend meningkat dengan pertambahan zon merah manakala Sarawak kadar insiden meningkat dan pertambahan zon merah.

"Oleh itu, enam negeri ini kekal dengan status PKPB," katanya dalam sidang media selepas menghadiri sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai situasi dan penilaian risiko tempoh 14 hari pelaksanaan PKPB dan PKPP di seluruh negara dijadualkan tamat pada 14 April 2021.


Ismail Sabri berkata, sebanyak 10 negeri dan wilayah lain pula berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang, Sabah, Putrajaya dan Labuan.

Pengekalan dan penukaran status bagi negeri berkuat kuasa mulai 15 April hingga 28 April kecuali di Sarawak yang bermula esok hingga 26 April nanti.

Dalam pada itu, beliau berkata, rentas sempadan masih tidak dibenarkan kecuali pelancongan antara negeri berstatus PKPP mengguna pakai konsep gelembung perjalanan hijau.

Selain itu, negara mungkin berdepan gelombang keempat COVID-19 susulan situasi semasa peningkatan nilai R-Naught (Rt) dan pertambahan kes harian di beberapa buah negeri ketika ini.

Ismail Sabri berkata, hampir keseluruhan negeri ketika ini mencatatkan trend tidak stabil. Secara keseluruhan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan status kes COVID-19 di beberapa negeri menunjukkan trend tidak stabil dan R-Naught melepasi angka satu.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, tindakan untuk mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 sebelum ke luar negara tertakluk kepada keperluan ditetapkan negara terbabit. Buat masa ini, pemberian vaksin di negara ini masih secara sukarela.

"Pengambilan vaksin bukan sesuatu diwajibkan tetapi diberi pilihan kepada rakyat. Namun, untuk kesihatan mereka, kita memohon kepada rakyat untuk ambillah vaksin.

"Untuk ke luar negara, kita tidak bincangkan lagi mengenai perkara ini kerana ia tertakluk kepada negara terbabit. Kita dapat perkhabaran bahawa untuk musim haji kali ini, jika dibenarkan menunaikan haji, saya difahamkan kemungkinan besar Kerajaan Arab Saudi akan mewajibkan pengambilan vaksin," katanya.


Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.