Suara

Terkini
12/12/20
Isu
Selangor

Berita Harian: 3 daerah di Selangor dibenar solat di masjid, surau esok

Berita terbit di bharian.com.my pada 10 Disember 2020

SHAH ALAM: Umat Islam di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor sudah boleh menunaikan solat Jumaat serta lima waktu berjemaah serta kegiatan agama di masjid dan surau di daerah itu bermula esok.

Bagaimanapun, kebenaran itu tidak termasuk kawasan terbabit dengan Kluster Melawati di Kuala Selangor yang membabitkan sebuah masjid, dua surau kebenaran Jumaat dan dua surau berikutan perkembangan terkini penularan COVID-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad, berkata ketetapan baharu JAIS mengenai solat dan kegiatan di 130 masjid, 21 surau kebenaran Jumaat dan 453 surau itu, membabitkan tiga daerah berkenaan sahaja.

"Pelaksanaan solat Jumaat dan lima waktu dibenarkan kepada semua masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau mengikut kapasiti sebenar ruang solat dengan penjarakan 1.5 meter.

"Bagi program pengimarahan seperti kuliah Maghrib, Subuh, dhuha dan bacaan Yassin turut dibenarkan dengan syarat penceramah dijemput adalah dari zon hijau sahaja.

"Kebenaran itu adalah untuk jemaah warganegara sahaja," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, arahan khusus juga dikeluarkan JAIS kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) yang terbabit untuk dikuatkuasakan serta-merta.

"Besar harapan JAIS agar seluruh umat Islam di Selangor meningkatkan disiplin, kawalan kendiri, bersabar dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan JAIS, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengekang penularan COVID-19.

"Langkah-langkah penguatkuasaan SOP tegas oleh pentadbir masjid dan surau, langkah pencegahan, kawalan kendiri, doa, zikir dan munajat yang diamalkan pasti akan membantu mempercepat ketetapan sama dapat dikuatkuasakan di seluruh Selangor," katanya.




Seterusnya
SELANGOR MAJU BERSAMA
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.