Inisiatif

Peristiwa
14/6/22

Berita Harian: 118 produk, 25 usahawan sertai SIE F&B 2022

SHAH ALAM: Program Jualan Pasaraya Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) Makanan dan Minuman (F&B) 2022 anjuran Invest Selangor tahun ini menampilkan 118 produk berasaskan makanan yang membabitkan 25 usahawan.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris, berkata program edisi pertama baru-baru ini, membabitkan dua pasar raya iaitu ST Rosyam Mart Sdn Bhd di Seksyen 9 dan Lulu Hypermarket di Setia City Mall.

Beliau berkata, program itu bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 yang bakal berlangsung di KLCC pada Oktober nanti.

"Kita harap, peluang yang diberikan ini akan dapat meningkatkan pasaran produk peserta dan menarik lebih ramai peserta atau usahawan Industri Kecil & Sederhana (IKS) untuk turut serta tahun ini supaya dapat meluaskan pasaran mereka.

"Tahun ini kita akan meneruskan lagi Supermarket Buyers Program (Program Jualan Pasar Raya) dengan pihak sama, malah kita mungkin akan tambah lagi.

"Apabila sempadan negara sudah dibuka, kita akan dapat lebih ramai usahawan dari luar negara," katanya pada sidang media program berkenaan selepas melawat reruai usahawan F&B di ST Rosyam Mart Sdn, Bhd, di sini, baru-baru ini.

Hasan Azhari berkata, sejumlah 15 usahawan syarikat F&B yang menyertai pameran SIBS tahun lalu adalah antara yang dipilih oleh ST Rosyam Mart untuk dibawa ke dalam rangkaian pasar raya berkenaan.

Mengenai penyertaan usahawan F&B pada SIBS 2022 katanya, sambutan amat menggalakkan dengan 127 atau 40 peratus reruai sudah terjual setakat ini.

"Pada tahun lalu, reruai usahawan F&B adalah sebanyak 294 dan tahun ini kita menyediakan 480. Kita berharap dapat menyelesaikan jualan reruai untuk SIE F&B dalam tempoh dua bulan dari sekarang. Penyertaan sangat baik dan kita turut mendapat pertanyaan dari kerajaan negeri lain," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.