Inisiatif

Terkini
27/12/21
Banjir

Bantuan Selangor Bangkit (BSB)

KENYATAAN MEDIA

27hb Disember 2021

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera kepada seluruh rakyat Negeri Selangor.

Berikutan kejadian banjir yang berlaku, sehingga jam 8 pagi tadi, seramai 54 PPS sedang dioperasikan melibatkan 2,892 keluarga dan 11, 598 orang mangsa.

Selain bakul-bakul makanan yang giat diagihkan saat ini, Kerajaan Negeri turut bercadang untuk memberi sumbangan seperti dapur gas kepada isi rumah yang terkesan teruk akibat banjir ini.

Dalam pada itu, dukacita dimaklumkan bahawa korban banjir di Selangor setakat ini mencatatkan jumlah 25 orang.

Mengambil kira latar ini, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk membatalkan Sambutan Ambang Tahun Baru peringkat Negeri Selangor.

Kita akan menganjurkan majlis tahlil dan bacaan yasin di seluruh masjid dan surau di Selangor pada tarikh tersebut.

Pada 21 Disember lalu saya telah mengumumkan Ikhtiar Selangor Bangkit yang bertujuan membantu rakyat yang terkesan akibat bencana banjir. Antara yang diumumkan adalah pengecualian bayaran pinjaman HIJRAH, pengecualian bayaran bil air selama sebulan, penubuhan tabung sumbangan serta bantuan kewangan iaitu Bantuan Selangor Bangkit.

Hari ini saya akan memberi perincian kepada bantuan kewangan ini.

BANTUAN SELANGOR BANGKIT

Bantuan sebanyak RM1,000 yang saya umumkan akan dimudahkan proses permohonanya.

Pertama, terdapat tiga kumpulan mangsa yang telah dikenalpasti bagi tujuan Bantuan Selangor Bangkit. Mereka adalah

i) Mangsa yang duduk di Pusat Pemindahan Sementara Awam
ii) Mangsa yang duduk di Pusat Pemindahan Sementara Swasta ataupun persendirian
iii) Mangsa yang dikesan banjir tetapi tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara.

Bagi kategori pertama dan kedua, pengkumpulan nama dan maklumat sudahpun dibuat sewaktu mereka ditempatkan di PPS lagi.

Pendaftaran bagi kategori ini akan bermula pada Rabu, 29hb Disember 2021 secara berperingkat.

Bagi kategori ketiga pula, iaitu mangsa yang tidak berpindah ke PPS, pegawai dan anggota akan membuat pendaftaran rumah ke rumah supaya mangsa tidak perlu ke mana-mana. Ini pula akan bermula pada 3hb Januari 2022.

Orang ramai hanya perlu membuat laporan polis jika hilang dokumen kad pengenalan. Tiada keperluan untuk membuat laporan polis untuk tujuan banjir.

Pun begitu, bagi mereka yang hilang dokumen pengenalan diri, di Setiap OSC, saya minta Pegawai Daerah menyelaras dengan Ketua Polis Daerah untuk menempatkan kaunter PDRM di setiap OSC, bagi tujuan pengesahan dokumen dan laporan polis jika diperlukan. Mangsa tidak perlu ke balai polis.

Permohonan secara dalam talian (online) akan dimulakan melalui hotline dan laman web rasmi setelah selesai pendaftaran offline bagi mengelakkan pertindihan data agar proses penyaluran bantuan dapat selesai sesegera mungkin, selewat-lewatnya 31hb Januari 2022.

Dalam perkembangan lain, suka untuk saya maklumkan di sini bahawa proses pembersihan kawasan banjir sedang giat dijalankan di semua 8 daerah seluruh Selangor.                                                                                                                                            

KDEB Waste sebagai agensi pelaksana yang dipertanggungjawabkan telah pun mengutip hampir 13,699.55 tan sampah, dengan impak kewangan RM6,031,937.

Bagi membantu kelancaran keluar masuk lori dalam proses pengutipan sampah ini, jalan-jalan di sekitar Hulu Langat akan ditutup setiap hari selama dua (2) jam bermula 8 pagi sehingga 10 pagi bagi memberi laluan kepada kenderaan KDEB Waste, kecuali hari minggu dan cuti umum.

Orang ramai termasuk sukarelawan diminta bersabar dan memilih waktu yang lain sekiranya mahu ke kawasan yang terbabit.

Bagi status kerja-kerja pembaikan infrastruktur negeri Selangor, analisa awal mengenai infrastruktur yang perlu diselenggara dikategorikan kepada tiga, iaitu darurat, segera dan jangka masa biasa.

Kerja-kerja pembaikan dalam status darurat memerlukan RM142,380,281, manakala kerja-kerja segera berjumlah RM177,909,255 dan kerja-kerja mengikut jangka masa biasa berjumlah RM49,211,721.

Ini melibatkan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Pejabat Daerah / Tanah, Pengurusan Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor.

Keseluruhan kos adalah RM369,501,257 dan akan dibiayai sebahagiannya oleh Kerajaan Negeri, manakala sebahagian lagi akan dimohon daripada Kerajaan Persekutuan agar kerja-kerja pembaikan dapat mula dengan segera.

Pemakluman tentang pergerakan sukarelawan kepada Kerajaan Negeri bukanlah suatu kewajipan tetapi atas sebab keselamatan. Dengan pemakluman ini, tenaga kerja yang ada dapat disalurkan kepada lokaliti yang betul-betul memerlukaan bagi memastikan sumber yang ada dimaksimumkan penggunaannya.

Bagi membantu permohonan bantuan rakyat ataupun saluran derma, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan pasukan sukarelawan yang bantu menubuhkan platform melalui laman web teguhbersama.com hasil usaha pasukan yang diketuai Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, YB Michelle Ng.

Platform ini membolehkan warga yang dikesan banjir untuk memohon bantuan sukarelawan untuk membersihkan rumah ataupun sisa sampah yang perlu dikutip akibat barang-barang yang rosak selepas banjir. Semuanya boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web www.teguhbersama.com.

Saya berterima kasih kepada semua pihak termasuk syarikat swasta dan kumpulan sukarelawan yang datang dari seluruh negara bagi membantu Selangor.                    

DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Muat turun Kenyataan Media (PDF)

Muat turun Infografik (PDF)

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.