Bantuan Khas Untuk Ibu Selangor Yang Bekerja
Dilema yang dihadapi ibu bekerja di Selangor ialah memilih antara meneruskan kerjaya atau berhenti kerja kerana kos penjagaan anak yang tinggi. Kos menghantar anak ke taska atau pusat jagaan antara implikasi kewangan yang besar bagi keluarga di Selangor.
MamaKerja adalah janji Kerajaan Perpaduan kepada rakyat sejak PRN Selangor 2023 dan kami telah tunaikan. Sejak dilancarkan, Kerajaan Negeri menerima 5,595 permohonan dan seramai 3,850 ibu bekerja telah menerima insentif ini.
Kini melalui Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2, kami tambah lagi peruntukan RM5 juta yang menjadikan jumlah keseluruhan RM10 juta untuk memanfaatkan 10,000 ibu bekerja Selangor.
Insentif RM1,000 ini akan disalurkan menerusi aplikasi Nine sebagai sokongan kepada ibu bekerja yang mempunyai anak kecil dan memerlukan khidmat taska atau pusat jagaan. Program ini adalah pengiktirafan Kerajaan Negeri bahawa wanita adalah tulang belakang keluarga dan enjin ekonomi Selangor. Memperkasa golongan wanita bekerja adalah antara keutamaan pentadbiran ini.
Permohonan fasa baru dibuka Ogos ini melalui aplikasi Nine. Layak untuk ibu bekerja yang mempunyai anak berumur 6 tahun ke bawah dan berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000.
Kami janji dan kami tunaikan.



