Bantu rakyat Selangor sihat dengan saringan kesihatan percuma
Sebagai sebuah negeri yang padat, kadar kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri. Saringan kesihatan adalah usaha asas bagi mengetahui keadaan kesihatan awalan.
Tahun ini, saya berharap agar sekurang-kurangnya 8,000 rakyat Selangor akan menjalani saringan percuma di lebih 40 lokasi seluruh negeri. Antara objektifnya adalah untuk pengesanan awal penyakit dan langkah mengubati.
Syarat yang Kerajaan Negeri tetapkan mudah sahaja iaitu saringan sekali setahun. Matlamat murninya adalah membina budaya pemeriksaan kesihatan sebagai satu gaya hidup sihat. Antara yang paling kerap dikesan ialah diabetes, darah tinggi, kolesterol dan masalah buah pinggang kronik, selain barah prostat, pangkal rahim, kolorektal dan payudara. Apabila dikesan awal, kadar kesembuhan adalah tinggi.
Untuk warga emas pula saringannya berbeza. Sejauh mana mampu berjalan dalam tempoh satu minit, sekuat mana genggaman tangan, itu antara kriteria pemeriksaan. Ini antara strategi Selangor bersiap menghadapi sebuah masyarakat yang menua.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.5 juta dalam Belanjawan 2026 dan pendaftaran pula boleh dibuat melalui aplikasi SELangkah.




