Inisiatif

Terkini
30/11/22

Astro Awani: Selangor tubuh jawatankuasa pemantau projek pembangunan pelancongan KSNP - Sidang DUN

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menubuhkan satu jawatankuasa pemantau projek bagi memastikan segala syarat dan piawaan pembinaan Projek Pembangunan Pelancongan Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) dipatuhi, demikian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian berkata konsep pembangunan taman yang terancang itu bakal menitikberatkan sumber alam semulajadi dan seterusnya memberi impak rendah terhadap alam sekitar serta menyumbang kepada kesejahteraan penduduk tempatan.

"Sebelum projek ini dilaksanakan, kerajaan negeri mendapat segala ulasan dari jabatan dan agensi yang berkaitan bagi memastikan langkah-langkah mitigasi diambil kira.

"Projek ini akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat yang bertaraf antarabangsa dan mempunyai pengalaman dalam sektor pembangunan ekopelancongan," katanya menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang) yang ingin tahu mengenai status pembangunan Pusat Pelancongan Antarabangsa di KSNP hari ini.

Hee berkata aktiviti pemantauan profil hutan kayu bakar akan dilaksanakan sepanjang masa oleh jabatan berkaitan bagi memastikan agar tidak berlaku sebarang hakisan dan kerosakan kepada alam sekitar.

Dalam perkembangan lain, Hee berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor telah memutuskan agar Pejabat Daerah dan Tanah Gombak membuat kajian kos pengambilan tanah di kawasan pertanian Bukit Tabur untuk dibentangkan semula kepada Majlis Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bagi pertimbangan lanjut.

Katanya berdasarkan mesyuarat MMKN Selangor ke-18/2022 pada 3 Ogos lepas, mengambil maklum berkenaan keperluan penyediaan laluan (jalan) di kawasan pertanian Bukit Tabur memandangkan ramai pengunjung menggunakan tapak kebun dikenali 'Kebun Che Mah', tanah hak milik atas nama Nurul Hikmah Abd Khalid sebagai laluan ke Bukit Tabur yang terletak di Permatang Kuartza untuk aktiviti rekreasi.

"Kajian berkenaan sedang dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Selangor. Dapatan kajian dijangka dibentangkan kepada MTES pada Mac 2023," katanya.

Hee menjawab soalan Saari Sungib (PH-Hulu Kelang) yang ingin tahu status pemilikan tanah Kebun Che Mah berdekatan Geopark Kebangsaan.

-- BERNAMA

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.