Suara

Terkini
22/11/21
Selangor
Bantuan
Pakej Kita Selangor 2.0

Astro Awani: Selangor salur RM5 juta kepada 1,100 PKS melalui Geran Padanan Digitalisasi PKS

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) telah menyalurkan RM5 juta kepada 1,100 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor untuk menggalakkan PKS mengambil langkah pertama mendigitalkan perniagaan mereka.

Geran padanan itu yang dilancarkan pada April 2021, di tengah-tengah pandemik COVID-19, merangkumi lima bidang pendigitalan iaitu perakaunan awan, sistem e-pembayaran, pengurusan sumber manusia dan senarai gaji, pemasaran digital dan sistem e-dagang.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata daripada 1,500 PKS di Selangor yang memohon geran itu, 1,100 daripadanya telah memenuhi syarat untuk mendapat manfaat daripada geran berkenaan.

"Berdasarkan beberapa kisah kejayaan daripada program ini, ramai yang telah membuktikan bahawa melalui penggunaan e-dagang, sistem e-pembayaran dan pemasaran digital, mereka telah memanfaatkan geran padanan ini untuk menambah baik operasi pembayaran dan pengurusan transaksi," kata Amirudin dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, antara acara bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021, di sini semalam.

Bertemakan 'Transformasi Digital Menuju Pemulihan Ekonomi,' acara itu dianjurkan bersama oleh SIDEC dan Invest Selangor Bhd, cabang pelaburan oleh kerajaan negeri Selangor.

Konvensyen itu menghimpunkan pemimpin industri, ahli akademik, PKS serta sektor kerajaan dan swasta untuk mendalami kaedah memperkukuh dan mengembangkan ekosistem pendigitalan PKS Selangor dalam membentuk rangka kerja dan penyelesaian bandar pintar dan ekonomi digital sedia ada dan untuk masa depan.

-- BERNAMA

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.