Suara

Terkini
6/10/20
Isu
Selangor
Air

Astro Awani : Kerajaan Selangor sedia tawar ganjaran kepada pemberi maklumat pencemaran sungai - MB

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor bersedia menawarkan ganjaran kepada pihak yang memberi maklumat berhubung pencemaran sungai yang menjejaskan bekalan air mentah di Sungai Semenyih.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu berikutan pencemaran berkenaan impak besar kepada pengguna terutama di negeri itu.

"Pihak Air Selangor sedang mencari dan memberikan maklum balas, malah kita sedia berikan ganjaran kepada mereka yang memberikan maklumat sebab ia beri kesan besar dari Putrajaya hingga ke Hulu Langat yang merupakan kawasan penduduk dan perindustrian," katanya melalui Skype kepada Astro AWANI pada Isnin.

Menurut Amirudin, pihak berkuasa ketika ini sedang berusaha mencari punca sebenar pencemaran sungai itu termasuk pencemaran bau yang dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sg Semenyih dan Bukit Tampoi.

"Kita juga sedang memikirkan untuk menggunakan haiwan yang boleh mengenal pasti pencemaran bau. Sebagai contoh anjing pengesan di peringkat-peringkat tertentu.

"Pencemaran bau begitu sukar dikesan dan bacaannya juga sangat subjektif melihat kepada kadar orang yang menyemak dan kadar mereka yang memeriksa bau-bau tersebut," ujarnya lagi.

Tambahnya, kerajaan Selangor telah bersedia dengan penyelesaian menyeluruh termasuk menyediakan kolam takungan yang boleh menjadi sumber bekalan alternatif apabila berlaku krisis air di negeri itu.

"Kalau kita lihat semalam seperti disebut Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa dia telah bersetuju untuk menyambung semula projek yang telah diluluskan pada tahun 2018 untuk menyalurkan air dari Tasik Putrajaya.

"Pada masa sama, beliau bersetuju dengan pelan alternatif iaitu mengunakan air dari Tasik Putrajaya untuk disalurkan ke Sungai Semenyih 2 atau Semenyih apabila berlaku pencemaran," katanya.

Dalam pada itu katanya, Selangor bekerjasama rapat dengan kerajaan Negeri Sembilan bagi mencari pihak yang bertanggungjawab melakukan pencemaran sungai yang menjejaskan bekalan air bersih penduduk.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Negeri Sembilan yang memberikan kerjasama kerana ia melibatkan JAS (Jabatan Alam Sekitar), polis, dan LUAS (Lembaga Urus Air Selangor)," katanya.


Seterusnya
SELANGOR MAJU BERSAMA
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.