Suara

Peristiwa
2/5/24
Isu

Selangor Kini: Projek peremajaan Shah Alam mula hujung tahun, libatkan kos RM2 bilion

SHAH ALAM, 30 APRIL: Projek peremajaan bandar ini sekitar Seksyen 14 termasuk pembinaan PKNS Square akan bermula hujung tahun dengan melibatkan kos sebanyak RM2 billion, kata Dato’ Menteri Besar

Dikendalikan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek turut menambah baik bangunan sedia ada antaranya SACC Mall, Plaza Perangsang, Kompleks PKNS serta Menara MRCB.

“Projek ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lapan ke 10 tahun. Tujuannya kita mahu hidupkan bandar ini dengan merancakkan ekonomi memandangkan ia merupakan ibu negeri.

“Sekarang aktiviti di Shah Alam terutama pusat bandar akan mati lepas 9 malam, yang hidup sekitar Seksyen 2, Seksyen 7 dan Seksyen 13. Jadi kita mahu hidupkan kawasan ini sekali gus mampu memacu ekonomi, bukan hanya pentadbiran.

“Menerusi projek ini, ia akan menghidupkan semula dan memberi nyawa baharu kepada pembangunan dan perancangan sedia ada yang sebahagiannya masih pada tema dan juga konsep 1980-an,” katanya ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri PKNS di sini hari ini.

Amirudin menambah aliran tunai milik anak syarikat negeri itu semakin meningkat sejak 2008 selain mencatatkan beberapa pencapaian positif.

“Saya kira dua hingga lima tahun mendatang ini, PKNS lebih agresif kepada sektor pembangunan. PKNS turut memberi fokus kepada pembinaan rumah, kawasan perniagaan di beberapa lokaliti lain,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas berkata hampir 3,000 tetamu terdiri daripada kakitangan serta agensi berkaitan hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.