Suara

Peristiwa
9/2/24
Selangor
Bantuan

Berita Harian: 'Bukan semua kampung dikenakan cukai pintu di Selangor'

SHAH ALAM: Kerajaan negeri menepis dakwaan kononnya semua penduduk kampung di negeri ini akan dikenakan cukai pintu.

Sebaliknya, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, menjelaskan rumah kampung yang tidak tertakluk dalam lingkungan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak dikenakan cukai pintu atau cukai taksiran.

Susulan itu, beliau berkata, sebahagian besar penduduk kampung di Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor dan sebahagian di Hulu Langat atau Kuala Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak dan kampung Orang Asli yang tidak termasuk dalam lokaliti PBT, tidak terjejas dengan pelaksanaan cukai pintu itu.

Katanya, propaganda disebarkan mendakwa kerajaan negeri mengutip cukai pintu kepada semua penduduk kampung di Selangor hingga membebankan mereka adalah tidak benar.

"Masih banyak kampung di beberapa daerah seperti Sungai Air Tawar, Sabak Bernam yang mana hampir 100 peratus penduduknya tidak dikenakan cukai pintu.

"Sebenarnya, subsidi berkesan adalah subsidi yang sampai kepada sasaran sebenar dan bukannya diterima semua orang, ia harus diterima semua pihak.

"Aspek ini yang menjadi kerangka kerja kepada kerajaan negeri," katanya selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, hari ini.

Turut hadir, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim.

Sebelum ini, media melaporkan, MCA mempersoalkan tindakan kerajaan negeri mengenakan cukai pintu ke atas penduduk kampung.

MCA berkata, pengumuman itu satu berita buruk dan mengecewakan penduduk kampung kerana mendakwa rumah di kampung baharu, kampung Melayu dan kampung nelayan di Selangor tidak lagi secara automatik dikecualikan daripada cukai taksiran atau cukai pintu mulai tahun ini.

Sementara itu, Amirudin berkata, pemilik hartanah di kampung yang mempunyai pelbagai aset perlu membayar cukai pintu jika dikenakan mengikut syarat ditetapkan.

"Contohnya, satu pasangan yang tinggal di rumah kampung tetapi mempunyai lima rumah sewaan lain.

"Aktiviti itu adalah aktiviti perniagaan dan mereka sebenarnya mempunyai kemampuan untuk membayar cukai terhadap premis berkenaan. Penyewa di rumah itu pula boleh memohon (untuk tidak membayar cukai) jika layak.

"Jadi, kalau ikut berita propaganda semua rumah kampung kena cukai..itu tidak betul. Contohnya penduduk di Sungai Air Tawar di Sabak Bernam, 100 peratus tidak dikenakan cukai.

"Penduduk di rumah kos rendah juga tidak dikenakan cukai, sama seperti pelaksanaan sebelum ini," katanya.

Seterusnya
#KITASELANGOR
Daftar hari ini untuk dapatkan maklumat terkini terus ke e-mel anda
Terima kasih!
Anda telah didaftarkan untuk menerima makluman dan maklumat terkini.
Maaf! Ada ralat.